KUCHING: Sarawak mengunjurkan hasil pendapatan sebanyak RM12.749 bilion tahun ini dan sebanyak RM4.798 bilion atau 38 peratus berjaya dikutip setakat 31 Mac lalu.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru Kedua Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, hasil ini disumbangkan oleh Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak RM1.462 bilion dan pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas (RM1.234 bilion).
”Selain itu, dividen sebanyak RM1.303 bilion terutamanya daripada pelaburan kerajaan dalam kumpulan syarikat berkaitan minyak dan gas, royalti air mentah (RM162 juta) dan pendapatan faedah sebanyak RM304 juta,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Uggah berkata, hasil itu juga disumbangkan perhutanan sebanyak RM61 juta, premium tanah (RM31 juta), pemberian dan pembayaran balik persekutuan (RM24 juta) serta sumber lain seperti royalti perlombongan, jualan air dan sewa tanah (RM217 juta).
"Berdasarkan prestasi setakat ini, kami yakin dapat mencapai unjuran hasil yang disasarkan pada tahun ini," tambahnya.